
Hari ini kita santai-santai Iqwang.. pernah tak terfikir, Mengapa ada Orang Miskin lebih kaya daripada Orang Kaya?
Pertama: Orang kaya selalu merasakan dia tidak punya wang!
Kebanyakan kita tergolong dalam kategori ini kerana kita ada pekerjaan tetap atau kita ada perniagaan yang sedang berjalan tetapi selalu mengalami defisit, tidak cukup wang! Malangnya, kita hidup seperti orang kaya tetapi sebenarnya hanya berpura-pura kaya.
Hakikatnya rezeki Allah yang kita terima itu cukup tetapi yang tidak mencukupkan itu adalah nafsu kita!
Kedua: Orang miskin tidak merasakan wang itu segala-galanya.
Orang miskin tidak menunggu menjadi kaya untuk memberi.
Kita pula selalu menunggu dan berfikir bila jadi kaya, baru mahu mula memberi sebanyak mungkin, kononnya, kerana merasakan bahawa pada masa itu sudah tentu memiliki wang yang banyak!
Usah bermimpilah kalau tabiat kedekut tahi hidung masin dah tentu-tentu lama melekat kat dalam hidung tu!
Ketiga: Hanya orang yang ikhlas dalam hidupnya akan menghulur@ memberi wangnya ketika ia masih belum kaya. Dan apabila mereka sudah menjadi kaya kelak, mereka akan memberi wangnya dengan jumlah yang lebih banyak dan besar.
Mereka sudah istiqamah memberi dari mula mengenal kehidupan.
Keempat: Orang miskin tetap memberi walaupun hidup susah, bukan dengan wang tetapi dengan usaha kederatnya atau dengan hanya senyumannya. Apabila sudah mula memiliki wang, dia tetap merasakan bahawa masih ada lagi hak orang lain di dalam bahagian rezekinya.
Kesimpulan:
Usahlah anda bergundah gulana kerana merasakan anda belum kaya lagi. Janganlah anda menunggu untuk menjadi kaya kerana anda sudah pun kaya jika anda sudah ‘melakukannya’.
Bagaimana orang miskin boleh menjadi lebih kaya daripada orang kaya?
Katakuncinya adalah MEMBERI.
Ini disebabkan hanya orang miskin yang mempunyai jiwa yang kaya sudah melakukannya manakala ramai pula orang kaya yang berjiwa miskin tetap merasakan tidak pernah cukup.
Jangan pula menjadi orang yang merasakan dirinya kaya (tak kaya pun tapi tak miskin pulak), tetapi orang menengah yang berjiwa sontot!
Selagi kita merasakan berat untuk memberi selagi itulah kita sebenarnya orang miskin yang berjiwa miskin.
Kita punya pilihan kategori mana yang kita mahu jadi:
1. Orang kaya yang berjiwa miskin.
2. Orang miskin yang berjiwa kaya.
3. Orang sederhana yang berjiwa sontot.
Bagi saya, saya mahu menjadi orang kaya yang berjiwa kaya tetapi hidupnya sederhana.
Anda bagaimana?